Anak Melayu ada akal untuk berfikir, ada mulut untuk bercakap, ada perasaan untuk diluah, ada ilmu untuk dikongsi dan ada idea untuk dilontar. Blog ini membantu anda merealisasikannya. Daftar sebagai author dengan mengirim e mail kepada sabrimnr@yahoo.com.

Monday, January 18, 2010

Mati, Bakar Tak hangus

Pada satu kesempatan yang berlalu, seorang sahabat yang suka berpoya-poya di bar-bar & di kelab-kelab malam telah menceritakan kisah seorang pelayan bar yang berkelakuan lain dari yang lain. Walau pun wanita tersebut berbangsa Cina, beliau sama sekali tidak menyukai malah tidak akan melayan pelanggan yang meminum arak, jauh sekali untuk diminumnya. Pabila wanita tersebut dipanggil untuk dilayan, wanita tersebut akan mengelak dengan berbagai-bagai alasan kerana sangat tidak menyukai mereka yang berpoya-poya sambil minum-minum.

Sahabat kita itu tersangatlah ingin mengetahui kenapakah wanita tersebut berperangai sedemikian. Selepas mendapat kesempatan yang sesuai, pada suatu ketika yang tenang maka berceritalah wanita pelayan pub tersebut pada peristiwa yang telah singgah menyelimuti keluarganya.


"Saya ini berasal dari keluarga yang tinggal di sebuah kampung di negeri Perak. Rumah saya rumah kampung dan hidup kami tak ada bezanya dengan masyarakat kampung yang bercampur gaul dengan orang-orang melayu. Keluarga kami menganut ajaran Buddha. Ada pun cerita saya ini adalah mengenai seorang emak saudara saya. Beliau sangat suka dengan ceramah agama seorang ustaz yang selalunya diadakan di rumah salah seorang masyarakat setempat. Ada pun emak saudara saya ini akan mengikuti cermah tersebut dari bawah sahaja. Beliau akan duduk di atas bangku yang terletak di bahagian bawah rumah (di tanah) kerana merasakan dia bukanlah sebahagian daripada mereka. Emak saudara saya akan mendengar syarahan ustaz tersebut dengan penuh minat dengan harapan dapat memahami bagi melengkapkan pengetahuannya.

Apabila majlis sudah berakhir dan semua orang telah pulang, emak saudara saya akan naik ke rumah tersebut dan berjumpa dengan tuan rumah. Beliau seterusnya akan mengajukan beberapa soalan yang beliau tidak fahami dan diperjelaskan oleh tuan rumah satu persatu. Setelah berpuashati barulah emak saudara saya akan pulang dengan wajah yang ceria.


Begitulah kebiasaannya dari masa ke semasa sehinggalah pada suatu hari setelah majlis itu berakhir dan semua orang telah pulang, tiba-tiba emak saudara saya jatuh secara mendadak ketika sesi soal jawabnya dengan tuan rumah. Sakitnya semakin menjadi-jadi dan tuan rumah kebingungan dan terpaksa meriba kepalanya lalu diperlakukannya sebagimana kebiasaan orang-orang melayu menghadapi saat-saat sebegitu. Dengan takdir tuhan emak saudara saya menghembuskan nafas yang terakhir tak lama selepas itu.


Keluarga kami dipanggil untuk urusan pengkebumiannya dan kami membawa jenazahnya ke kuil untuk disempurnakan. Seperti kebiasaan mengikut ajaran kami jenazah akan dibakar dan dibawa ke tempat pembakaran. Nah, di sinilah berlakunya keanihan di mana apabila jenazah emak saudara saya dibakar ianya tidak hangus malah langsung tidak menunjukkan tanda akan terbakar. Bingung dengan peristiwa yang berlaku, keluarga kami membawa jenazah tersebut ke rumah jiran di mana dia menghembuskan nafas terakhirnya dan minta disempurnakan sebagaimana seorang muslim dan membiayai sepenuhnya semua perbelanjaan. Beliau telah selamat disemadikan di tanah perkuburan orang-orang Islam.


Selepas peristiwa tersebut sudah ramai ahli keluarga kami memeluk Islam dan saya selalu memikirkan Islamlah agama yang sebenarnya. Dengan secara tidak langsung saya amat tidak menyukai cara hidup yang suka berpoya-poya dan mabuk-mabuk. Saya sendiri sekarang merasakan terumbang-ambing kerana terpaksa menjalani kehidupan sedemikian rupa bagi menampung perbelanjaan. Itulah yang dapat saya beritahu tuan sambil menarik nafas panjang". Apabila ditanya apakah dia sudah masuk Islam, lalu dijawabnya "saya sentiasa bermain dengan perasaan kerana memikirkan ke arah tersebut."


No comments: