Anak Melayu ada akal untuk berfikir, ada mulut untuk bercakap, ada perasaan untuk diluah, ada ilmu untuk dikongsi dan ada idea untuk dilontar. Blog ini membantu anda merealisasikannya. Daftar sebagai author dengan mengirim e mail kepada sabrimnr@yahoo.com.

Wednesday, January 27, 2010

Renungan

Melayu Hari Ini?

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemulihan , dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram , rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pamiran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu pun nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak Melayu masih nombor satu
Asal bergaye sanggup makan nasi dan tokyu

Boleh tak jumpa Melayu di kedai buku?
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada jugak tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa Melayu jadi begitu?
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan bengkok atau siapa dia penghulu
Dan suka sangat dengan budaya ampu mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju
Boleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata Nabi ikutlah Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu
tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu!!!!



By,

Someone

Sajak ini sekadar renungan sahaja dan dikirim oleh seseorang sahabat saya terima kasih. Saya tidak tahu siapa penulis sebenarnya. bagi saya sendiri jika melihat dengan sebelah mata apa yang dinyatakan adalah benar. tetapi jika kita membuka kedua-dua mata kita dapati apa yang disebut segelintir sahaja. Kerana jikalau kita bilang kelompok anak melayu dari sebuah kampung atau sebuah sekolah ( i am ex school teacher ) saya dapati melayu yang berperangai elok lebih ramai daripada berperangai yang tidak elok. Bekas anak murid saya dari beberapa buah sekolah lebih terlalu ramai berada di universiti daripada pusat serenti.Walaupun berita yang masuk ke pusat serenti lebih ghairah disampaikan. Setuju atau tak setuju dengan saya, saya terima. Sila beri komen anda. Terima kasih

Wednesday, January 20, 2010

Perlu serius atasi kegawatan sosial belia Melayu

Sumber: Forum Utusan

DALAM sibuk kita membincangkan mengenai masalah warga asing, kegawatan ekonomi, bencana alam dan pelbagai lagi isu semasa, kita seolah-olah lupa tentang isu yang tidak kurang pentingnya untuk diberi perhatian dan dibincangkan secara serius yang sedang melanda negara kini.

Isunya ialah ‘kegawatan sosial’. Jika masyarakat sedar dan peka dengan keadaan sekitar, ‘masalah sosial’ sedang melanda negara kita. Masalah ini lebih besar akibatnya daripada segala bencana lain yang kita boleh nampak dari mata kasar dan kerosakan fizikal.

Ini kerana, berpunca daripada masalah sosiallah boleh menyebabkan pelbagai lagi cabang-cabang masalah lain akan timbul.

Para muda-mudi Malaysia (terutamanya Melayu) sedang hanyut dengan pelbagai gejala dan ikutan negatif. Jika anda ke taman-taman, pusat membeli-belah mahupun di tempat-tempat awam, remaja lelaki dan perempuan bebas berpegang tangan dan berpelukan.

Ada sesetengahnya berpakaian ‘ala-ala hawaii’ (tutup depan belakang terbuka). Golongan ‘pengkid’ dan ‘nyah’ di mana-mana saja boleh kita temui.

Pelbagai gejala sosial negatif yang melanda Malaysia kini harus dipandang berat oleh kerajaan sebelum Tuhan murka dan menurunkan bala yang tiada taranya.

Menjadi tanggungjawab kita bersama ‘mengambil kisah’ dan mengambil sikap ‘jaga tepi kain orang’ berkenaan segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita.

Kerajaan Aceh begitu tegas melaksanakan hukum syariah contohnya menguatkuasakan hukuman berpakaian dan hubungan sosial kerana tidak mahu ditimpa bala sebagaimana yang telah berlaku tsunami pada tahun 2004.

Saya tidak menyeru kerajaan menguatkuasakan hukum seperti mana di Banda Acheh, tetapi masyarakat amnya dan kerajaan Malaysia khasnya harus bertindak memikirkan bagaimana hendak mengekang kegawatan sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat kita sekarang dengan mengambil kira kesesuaian untuk pelbagai kaum sebagaimana semangat 1Malaysia.

Mungkin dengan cara memperbanyakkan aktiviti sihat yang melibatkan remaja. Kerana golongan inilah yang mudah terpengaruh dengan budaya negatif dan lebih suka mengejar keseronokan tanpa memikirkan kerosakannya.

Namun yang demikian, pelbagai penguatkuasaan dan pemantauan jangka panjang harus dilakukan oleh pihak berkuasa bukan sahaja untuk remaja tetapi untuk seluruh peringkat masyarakat umumnya.

Saya begitu risaukan remaja Melayu Islam yang semakin terhakis identiti diri, dan hanyut dibawa arus kebaratan. Hidup berpaksikan agama dan moral yang baik adalah tunjang utama keamanan sejagat.


Ampang">

Tuesday, January 19, 2010

Keunikan Adat Perpatih




Pengenalan



Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Pinang Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.




Struktur Masyarakat Adat Perpatih



Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan.

Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga.
Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

Prinsip-prinsip Adat Perpatih



Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.



1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggapbonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara
berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian harta

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Diambil daripada "
http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_Perpatih"

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Sumber : Utusan
HAIRAN Awang apabila Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mencadangkan 40,000 warga India yang ‘hilang’ di Malaysia diampunkan serta diserapkan dalam sistem pekerjaan negara ini.

Perlu diingat negara India mempunyai seramai 1.2 bilion penduduk. Jika cadangan MIC itu diterima, ia akan menjadi daya tarikan kepada warga India lain untuk datang, hilang dan kemudian diputihkan oleh kerajaan kita.

Sepatutnya, MIC berfikiran lebih jauh. Rakyat India Malaysia pun ramai yang menganggur. Masalah mereka yang harus menjadi keutamaan. MIC perlu membuka dan mencipta peluang pekerjaan untuk mereka.

Ini bukan soal siapa India itu. Warga India di India tiada kena mengena dengan keturunan India warganegara Malaysia. Oleh itu apa kita terlalu mahu bersimpati sangat. Bersimpatilah dengan orang kita dulu.

Seperti kata Tan Malaka dalam Forum Utusan Malaysia di muka 12 hari ini: ‘‘Adakah ini pemikiran seorang anak Malaysia yang bertanggungjawab terhadap kepentingan keselamatan Malaysia atau didorong oleh perasaan sentimen perkauman?’’

Mungkin juga apa yang berlaku kini adalah disebabkan kita gagal menitikberatkan soal cintakan negara? Peranan media vernakular, akhbar dan TV, juga perlu dilihat semula kerana selama ini ia banyak menonjolkan bahan-bahan dari tanah besar India dan China. Mengapa kiblat itu masih gagal diubah?

Awang – Masih tidak faham
Rampasan produk Adi Putra lepas siasatan rapi


2010/01/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: “Rampasan yang dilakukan terhadap produk Ubat Penawar Sendi Tulang milik kanak-kanak genius, Adi Putra Abdul Ghani , 11, Sabtu lalu, bukan dilakukan sesuka hati atau berniat jahat. Kami tidak punya apa-apa kepentingan dalam perkara ini,” kata Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Hatta Ahmad.

Menurutnya, kajian berhubung isi kandungan produk berkenaan yang didakwa boleh menyembuhkan sakit sendi dan tulang sudah mula dilakukan di makmal forensik bahagian penguat kuasa farmasi sejak awal November tahun lalu.


“Ujian makmal yang dilakukan kakitangan makmal berulang kali mendapati pil terbabit disahkan mengandungi kimia Dexamethasone iaitu dadah steroid yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.


“Semua ujian makmal terbabit dilakukan secara terperinci menggunakan peralatan paling moden yang boleh mengesan sebarang kehadiran kimia berbahaya yang sengaja dicampurkan ke dalam ubatan atau makanan kesihatan,” katanya.


Menurutnya, tidak timbul isu sama ada pegawai penguat kuasa farmasi sengaja mensasarkan produk Adi Putra berikutan semua tindakan diambil mengikut prosedur selain terlebih dahulu melalui ujian makmal yang ketat.

Dalam pertemuan singkat semalam, Hatta sempat membawa wartawan melawat dua makmal moden KKM iaitu Makmal Forensik Bahagian Penguat kuasa Farmasi dan Makmal Pengujian Produk Unit Penyaringan Campur Palsu KKM yang digunakan khusus untuk menjalankan pemeriksaan terhadap ribuan produk kesihatan.


“Penggunaan alatan moden seperti Gas Mass Spectrum Chrometography (GCMS) dan High Performance Liquid Chrometography (PLC) mampu mengesan bahan asing yang dicampurkan ke dalam ubatan walaupun dalam kuantiti kecil.


“Keputusan yang diperoleh 100 peratus tepat dan tidak perlu diragui. Bukti terbabit kemudian dijadikan asas bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan bagi merampas mana-mana produk kesihatan yang didapati bercampur aduk dengan kimia berbahaya di pasaran,” katanya. Beliau berkata, dakwaan pada pelekat label produk yang mendakwa Produk Ubat Penawar Sendi Tulang dihasilkan daripada rempah ratus seperti halia dan madu ternyata satu fakta tidak tepat dan pihaknya masih menyiasat sumber pembekal produk pil terbabit diperoleh. Menurutnya, pemeriksaan makmal pada enam lagi produk homeopati dipasarkan Adi Putra turut mendapati ia hanya mengandungi bahan sukrose iaitu gula. “Berdasarkan siasatan ketika serbuan, semua pil kecil berwarna kuning itu didapati diimport daripada pengeluar produk Homeopati dari Lahore, Pakistan,” katanya.

hmetro.

Monday, January 18, 2010

Jangan salah guna aplikasi ICT

KUCHING 17 Jan. – Rakyat negara ini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan aplikasi teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) seperti laman sosial Facebook dan Twitter untuk merosakkan keharmonian negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, sebaliknya kecanggihan teknologi itu mesti digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat termasuk meningkatkan kualiti hidup dalam menghadapi cabaran dunia global.

“Kita mahu rakyat menggunakan aplikasi teknologi untuk mengembangkan pengetahuan, kebudayaan malah meningkatkan pasaran perniagaan dan bukannya menegangkan hubungan antara rakyat berbilang kaum.

“Tidak dinafikan, selain mendatangkan faedah, teknologi turut disalahgunakan contohnya, laman web dengan mengakses pornografi sedangkan masih banyak lagi laman web yang mendatangkan faedah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Orientasi Penuntut Wawasan Open University (WOU) dan pameran di Pustaka Negeri di Petra Jaya di sini hari ini.

Fadillah diminta mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu rakyat negara ini bertanggungjawab dan mempunyai benteng agama sebelum terpengaruh dengan fenomena yang dicetuskan oleh laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Rais memberitahu, mereka juga perlu berwaspada ketika menggunakan laman itu untuk mengeluarkan sebarang kritikan atau ulasan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Fadillah berkata, sebaik-baiknya isu-isu sensitif seperti kalimah Allah tidak dibincangkan menerusi laman web seumpama itu kerana ia mungkin diterjemahkan kepada makna lain oleh golongan ekstremis.

Penuntut mengaku tak bersalah beri komen dalam Facebook

Penuntut mengaku tak bersalah beri komen dalam Facebook
18/01/2010 12:35pm

PETALING JAYA 18 Jan. – Penuntut tahun satu Akademi Seni dan Warisan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi komen pada laman web Facebook yang bersifat mengancam dengan niat mengganggu orang lain. - Utusan

Mati, Bakar Tak hangus

Pada satu kesempatan yang berlalu, seorang sahabat yang suka berpoya-poya di bar-bar & di kelab-kelab malam telah menceritakan kisah seorang pelayan bar yang berkelakuan lain dari yang lain. Walau pun wanita tersebut berbangsa Cina, beliau sama sekali tidak menyukai malah tidak akan melayan pelanggan yang meminum arak, jauh sekali untuk diminumnya. Pabila wanita tersebut dipanggil untuk dilayan, wanita tersebut akan mengelak dengan berbagai-bagai alasan kerana sangat tidak menyukai mereka yang berpoya-poya sambil minum-minum.

Sahabat kita itu tersangatlah ingin mengetahui kenapakah wanita tersebut berperangai sedemikian. Selepas mendapat kesempatan yang sesuai, pada suatu ketika yang tenang maka berceritalah wanita pelayan pub tersebut pada peristiwa yang telah singgah menyelimuti keluarganya.


"Saya ini berasal dari keluarga yang tinggal di sebuah kampung di negeri Perak. Rumah saya rumah kampung dan hidup kami tak ada bezanya dengan masyarakat kampung yang bercampur gaul dengan orang-orang melayu. Keluarga kami menganut ajaran Buddha. Ada pun cerita saya ini adalah mengenai seorang emak saudara saya. Beliau sangat suka dengan ceramah agama seorang ustaz yang selalunya diadakan di rumah salah seorang masyarakat setempat. Ada pun emak saudara saya ini akan mengikuti cermah tersebut dari bawah sahaja. Beliau akan duduk di atas bangku yang terletak di bahagian bawah rumah (di tanah) kerana merasakan dia bukanlah sebahagian daripada mereka. Emak saudara saya akan mendengar syarahan ustaz tersebut dengan penuh minat dengan harapan dapat memahami bagi melengkapkan pengetahuannya.

Apabila majlis sudah berakhir dan semua orang telah pulang, emak saudara saya akan naik ke rumah tersebut dan berjumpa dengan tuan rumah. Beliau seterusnya akan mengajukan beberapa soalan yang beliau tidak fahami dan diperjelaskan oleh tuan rumah satu persatu. Setelah berpuashati barulah emak saudara saya akan pulang dengan wajah yang ceria.


Begitulah kebiasaannya dari masa ke semasa sehinggalah pada suatu hari setelah majlis itu berakhir dan semua orang telah pulang, tiba-tiba emak saudara saya jatuh secara mendadak ketika sesi soal jawabnya dengan tuan rumah. Sakitnya semakin menjadi-jadi dan tuan rumah kebingungan dan terpaksa meriba kepalanya lalu diperlakukannya sebagimana kebiasaan orang-orang melayu menghadapi saat-saat sebegitu. Dengan takdir tuhan emak saudara saya menghembuskan nafas yang terakhir tak lama selepas itu.


Keluarga kami dipanggil untuk urusan pengkebumiannya dan kami membawa jenazahnya ke kuil untuk disempurnakan. Seperti kebiasaan mengikut ajaran kami jenazah akan dibakar dan dibawa ke tempat pembakaran. Nah, di sinilah berlakunya keanihan di mana apabila jenazah emak saudara saya dibakar ianya tidak hangus malah langsung tidak menunjukkan tanda akan terbakar. Bingung dengan peristiwa yang berlaku, keluarga kami membawa jenazah tersebut ke rumah jiran di mana dia menghembuskan nafas terakhirnya dan minta disempurnakan sebagaimana seorang muslim dan membiayai sepenuhnya semua perbelanjaan. Beliau telah selamat disemadikan di tanah perkuburan orang-orang Islam.


Selepas peristiwa tersebut sudah ramai ahli keluarga kami memeluk Islam dan saya selalu memikirkan Islamlah agama yang sebenarnya. Dengan secara tidak langsung saya amat tidak menyukai cara hidup yang suka berpoya-poya dan mabuk-mabuk. Saya sendiri sekarang merasakan terumbang-ambing kerana terpaksa menjalani kehidupan sedemikian rupa bagi menampung perbelanjaan. Itulah yang dapat saya beritahu tuan sambil menarik nafas panjang". Apabila ditanya apakah dia sudah masuk Islam, lalu dijawabnya "saya sentiasa bermain dengan perasaan kerana memikirkan ke arah tersebut."


Sunday, January 17, 2010

Waspada guna laman web sosial - Rais

SEREMBAN 16 Jan. - Rakyat negara ini perlu bertanggungjawab dan mempunyai benteng agama yang kuat sebelum terpengaruh dengan fenomena yang dicetuskan oleh laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, mereka juga perlu berwaspada ketika menggunakan laman itu untuk mengeluarkan sebarang kritikan atau ulasan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

"Kita tidak kata jangan pakai Facebook, jangan pakai Twitter, namun apabila menggunakan laman ini sifat kemalaysiaan, sifat keislaman, sifat buddhisme, sifat kristian harus kuat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran 1Malaysia anjuran Jiran Sepakat Taman Paroi Jaya dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Medan Selera PJ Perdana, Paroi Jaya di sini, hari ini.

Sumber : Utusan Online.

Sajak Yang Perlu di Hayati

'Melayu' oleh Dato' Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika benar
Kecut takut kerana bersalah,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati anak

Jangan mati adat.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka