Anak Melayu ada akal untuk berfikir, ada mulut untuk bercakap, ada perasaan untuk diluah, ada ilmu untuk dikongsi dan ada idea untuk dilontar. Blog ini membantu anda merealisasikannya. Daftar sebagai author dengan mengirim e mail kepada sabrimnr@yahoo.com.

Saturday, February 6, 2010

Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini

Beriman di mulut, hati berlumut
beriman di lidah, hati menyalah
lidah bercabang, langkah menyilang
cakap berlecoh, perangai tak senonoh
tamak harta, mabuk dunia
laba pangkat, lupa akhirat
kemaruk puji, lupa diri.

Bangsa melayu Jangan Jadi Begini

Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
ke laut menghasut, ke darat mengumpat
ke hulu menipu, ke hilir menyindir
ke atas mengampu, ke bawah melapah
ke gunung menyombong, ke lurah menista
berkawan dengan setan, berguru pada nafsu
beraja pada selera, bersahabat pada maksiat
berlabuh pada yang tak senonoh
berhenti pada yang keji.

Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini

bergantung pada yang serong
berpijak pada yang merosak
bersandar pada yang ingkar
berumah pada yang salah
aniaya pada saudara
khianat pada sahabat
iri kepada isteri
muak ke orang banyak
derhaka ke orang tua
menghina pada yang muda
mencerca sama sebaya
bekerja malas, memimpin culas
bersusah malu, berpahit tak mahu.

jadilah bangsa yang bersopan
jadilah bangsa yang berbudi tinggi
jadilah bangsa yang pentingkan kemuliaan
jadilah bangsa yang berhemah mulia
jadilah bangsa yang berpegang kepada kekeluargaan
jadilah bangsa yang cintakan muafakat
jadilah bangsa yang sentiasa mahu berbakti
jadilah bangsa yang fikirkan cemerlang dunia dan akhirat

tuah ayam pada sisiknya
tuah manusia pada baiknya
tuah kain pada tenunnya
tuah kayu pada elok buahnya
tuah melayu elok maruahnya..

Petikan dari buku: anjung teromba, oleh Dato' Dr Mohd Rosli Saludin

Tuesday, February 2, 2010

Adakalanya, Selalunya & Sesungguhnya

Adakalanya, Selalunya & Sesungguhnya

(impian)
Adakalanya
Kita impikan harapan yang terlalu tinggi
Impian tak kesampaian
Harapan terkulai
Ketentuan abadi sebenarnya telah menyempurnakan
Bagi sebahagian perjalanan yang kita layari
Dalam pencarian yang tiada hentinya
Pun begitu kita harus sabar menanti
Kerna impian adalah harapan

(angan-angan)
Adakalanya
Kita berangan yang indah-indah
Kita terbuai dengan alunan yang mengasyikkan
Sehingga kita terlena dalam keindahan rasa
Igauan akan mengejutkan kita
Betapa angan-angan itu adalah khayalan semata

(jujur)
Adakalanya
Kita sentiasa jujur dalam segalanya
Sehinggakan kejujuran itu akan menyusahkan kita
Tetapi kita tetap bahagia dan senang di hati
Biar pun terpaksa berkorban dalam banyak cara
Bagi menyempurnakan keserasian hati
Kerna kejujuran dan keikhlasan adalah cetusan hati

(setia)
Adakalanya
Kesetiaan akan melemaskan kita
Kerna kita harus menahan dan menjeruk rasa
Dari kerenah dan keluhan yang harus diketepi
Dalam mencari realiti
Kita pastinya akan terus diuli dan diuji
Sehinggalah kita mencapai tahap terpuji
Ketahuilah kesetiaan itu adalah ikrar hati

(sabar)
Adakalanya
Sabar dapat membongkar segala kunci
Semangat berkobar tak semestinya terus menjadi
Biar pun diulit dengan kata-kata terpuji
Bagi menyegerakan maksud di hati
Juga bagi menyempurnakannya agenda harus dikaji
Biar pun sampai tahap kita dikeji
Kita tetap jati diri
Sebenarnya sabar itu adalah perisai diri

(amanah)
Adakalanya
Amanah akan memberkas dan mengikat kita
Agar keperibadian dan pegangan hati tak akan goyah
Oleh insan yang berkepentingan diri dan megah di hati
Dari masa kita diuli, dipuji dan dikeji
Ingatlah akan prinsip dan pegangan diri
Ingatlah bumi dimana kita berdiri
Kita tetap kita yang tersendiri
Sesungguhnya amanah itu adalah harga diri

(ingat sokmo)
Ingat Sokmo adalah ungkapan yang tak pernah basi
Ianya semestinya akan selalu diisi
Dalam berbagai cara dan versi
Bagi menterjemahkan maksud di hati
Insan akan mengalunkannya secara terperinci
Agar olahan kita sememangnya lembut lidah dari gigi
Itulah tanda keakraban, kesetiaan dan kesinambungan hati



Bodin 04 Januari 2010