Anak Melayu ada akal untuk berfikir, ada mulut untuk bercakap, ada perasaan untuk diluah, ada ilmu untuk dikongsi dan ada idea untuk dilontar. Blog ini membantu anda merealisasikannya. Daftar sebagai author dengan mengirim e mail kepada sabrimnr@yahoo.com.

Monday, January 18, 2010

Jangan salah guna aplikasi ICT

KUCHING 17 Jan. – Rakyat negara ini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan aplikasi teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) seperti laman sosial Facebook dan Twitter untuk merosakkan keharmonian negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, sebaliknya kecanggihan teknologi itu mesti digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat termasuk meningkatkan kualiti hidup dalam menghadapi cabaran dunia global.

“Kita mahu rakyat menggunakan aplikasi teknologi untuk mengembangkan pengetahuan, kebudayaan malah meningkatkan pasaran perniagaan dan bukannya menegangkan hubungan antara rakyat berbilang kaum.

“Tidak dinafikan, selain mendatangkan faedah, teknologi turut disalahgunakan contohnya, laman web dengan mengakses pornografi sedangkan masih banyak lagi laman web yang mendatangkan faedah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Orientasi Penuntut Wawasan Open University (WOU) dan pameran di Pustaka Negeri di Petra Jaya di sini hari ini.

Fadillah diminta mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu rakyat negara ini bertanggungjawab dan mempunyai benteng agama sebelum terpengaruh dengan fenomena yang dicetuskan oleh laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Rais memberitahu, mereka juga perlu berwaspada ketika menggunakan laman itu untuk mengeluarkan sebarang kritikan atau ulasan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Fadillah berkata, sebaik-baiknya isu-isu sensitif seperti kalimah Allah tidak dibincangkan menerusi laman web seumpama itu kerana ia mungkin diterjemahkan kepada makna lain oleh golongan ekstremis.

No comments: