Anak Melayu ada akal untuk berfikir, ada mulut untuk bercakap, ada perasaan untuk diluah, ada ilmu untuk dikongsi dan ada idea untuk dilontar. Blog ini membantu anda merealisasikannya. Daftar sebagai author dengan mengirim e mail kepada sabrimnr@yahoo.com.

Friday, December 10, 2010

Hilang ketuanan kekalkan kedaulatan Melayu

sumber utusan
KETUANAN Melayu sebagai satu abstrak bahawa wujudnya bangsa itu di tanah tinggi dan berbukit yang dinamakan Malaya. Abstrak ini sering dimainkan oleh pemain politik dan terbaru pemain politik Melayu sendiri dalam kongres tahunan sebuah parti politik pembangkang.

Hal ini telah diperingatkan banyak kali baik oleh pihak istana mahupun individu yang tidak berpolitik agar tidak mempersoal dan mempertikai hak istimewa Orang Melayu pada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi mereka konsep ketuanan Melayu mewujudkan hubungan pihak tuan dengan hamba. Ini dimaksudkan orang Melayu diibaratkan tuan, manakala orang bukan Melayu sebagai hamba kepada orang Melayu.

Walhal realiti orang Melayu tidak pernah mengawal orang bukan Melayu dari apa-apa aspek pun sama ada pemilikan harta, agihan kuasa, hak pendidikan dan sebagainya. Pemahaman hubungan tidak bertamadun ini sengaja dimomok-momok dan diuar-uarkan kerana cita-cita politik tinggi ingin menawan Putrajaya.

Jika orang Melayu disifatkan sebagai tuan ada kebenarannya kerana asal usul dan sejarah yang panjang seperti terbentuk tamadun Melayu sejak 1,300 tahun lalu.

Catatan sejarah membuktikan bahawa Wilayah Kepulauan Melayu mengakui tamadun Melayu sejak Empayar Srivijaya di Sumatera abad ke-7. Rumpun Melayu membina peradabannya hingga menguasai sebuah wilayah tanah daratan dan pengairan dan Asia Tenggara yang dikenali gugusan kepulauan Melayu.

Pada abad 11 dan 12 peradaban bertukar nama kepada Melayu diikuti Perlak (840), Samudera Pasai (976) kepada kerajaan Jawa seperti Taruma abad ke-5, Sailendra abad ke-8, Mataram abad ke-9, Majapahit akhir abad ke-13, Demak abad ke-15.

Bantam, Pejajaran, Surabaya dan seterusnya kerajaan Trengganu sekitar (1303), Melaka (1400), Sulu (1405), Brunei (1406), Mindanao (1515), Banjarmasin dan Makasar (1,604), Ternate (1486), Tidore (1475) Patani dan Aceh sekitar 1500 dan Johor Riau (1700).

Namun dalam konteks sejarah tidak pula orang bukan Melayu sebagai hamba dan mengawal serta memaksa ikut telunjuk orang Melayu. Malah mereka tidak dipaksa menukar nama, agama, budaya dan bahasa masing-masing seperti negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand.

Ini jelas terpesong apabila menganggap bahawa ketuanan Melayu mengongkong kehidupan kaum lain kerana kononnya orang Melayu memiliki status dan kuasa lebih tinggi. Berbanding mitos orang kulit putih, tidak berlaku penyingkiran hak-hak kaum lain mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

Mereka berusaha menukar fikiran pengundi agar tidak mempercayai pemimpin yang menggunakan prinsip keadilan, kuasa dan kualiti. Orang Melayu perlu kefahaman bahawa biarlah hilang konsep ketuanan asalkan kedaulatan Melayu tetap tegar dan konsisten.

Dr. Zulkeflee Yaacob

Tanjong Malim, Perak.

Thursday, December 9, 2010

Jangan persoal keistimewaan orang Melayu

sumber utusan
PERJANJIAN Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan British pada 15 Ogos 1957. Antara isinya ialah kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan. Ia satu fakta.

Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

Perkara 25 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa seseorang warganegara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada negara ini. Manakala Perkara 153 memperuntukkan peranan Yang Di-pertuan Agong dalam menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, Perlembagaan juga memastikan perkara 153 tersebut dilaksanakan dengan berhati-hati supaya perlaksanaannya tidak mengabaikan kaum-kaum lain.

Perlembagaan Malaysia menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak dipersoalkan. Antara perkara sensitif dalam Perlembagaan yang tidak boleh dipersoal termasuklah pemerintahan beraja, agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Apa yang ditulis ini diambil daripada buku teks Tingkatan Lima. Seharusnya isu keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak perlu dipersoalkan lagi kerana sudah diajar di sekolah menengah.

Oleh itu untuk menghapuskan ketuanan Melayu adalah satu tindakan yang tidak wajar.

PELAJAR

Pulau Pinang

Jangan jadi penderhaka dan pengkhianat bangsa

sumber utusan
SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah telah memberikan peringatan yang tegas dan jelas bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.

Persoalannya, sejauh manakah peringatan baginda ini akan difahami oleh individu dan kelompok tertentu yang kita tahu sanggup melakukan apa sahaja demi politik.

Sebenarnya, sudah acap kali puak-puak berkenaan diperingatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu tetapi semua itu tidak diendahkan.

Sebaliknya dari semasa ke semasa demi mencapai cita-cita dan matlamat politik kelompok tersebut berterusan mencabar perkara berkenaan.

Adalah sesuatu yang malang kerana orang Melayu terpaksa berhadapan dengan individu dalam kalangan mereka sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja, asalkan cita-cita mereka tercapai.

Kelompok seumpama itu sudah tidak lagi memikirkan kesannya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Mereka akan menggadaikan apa sahaja dan sesiapa juga yang cuba mempertahankan ketuanan atau keistimewaan Melayu akan dianggap rasis.

Segala-galanya kerana mereka ingin merebut kuasa politik dan mencari pengaruh daripada kaum lain.

Kegelojohan dan kerakusan ini akhirnya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada orang Melayu.

Perasaan hormat terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan umat Islam dengan sendirinya akan luntur akibat daripada perbuatan orang Melayu sendiri.

Justeru adalah tidak keterlaluan jika dikatakan, kelompok yang berbuat demikian dengan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu bukan sahaja menderhaka malahan mengkhianati bangsa sendiri.

Apa yang anehnya, kelompok ini akan berasa marah apabila dianggap pengkhianat, sebaliknya akan memberi seribu satu alasan bagi mempertahankan tindakan mereka.

Tetapi semua orang Melayu maklum mengenai kerakusan berpolitik mereka. Apa yang mereka inginkan hanyalah kuasa.

Mereka sengaja melupakan sejarah mengenai perjuangan orang Melayu di bumi Malaysia ini dan kenapa orang Melayu diberikan hak-hak keistimewaan tertentu tetapi dalam masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan kaum lain.

Puak inilah juga memutar-belitkan fakta sewenang-wenangnya termasuklah mewujudkan tafsiran baru mengenai ketuanan Melayu.

Walaupun sudah berkali-kali diperjelaskan mengenai apa maksud ketuanan Melayu tetapi kelompok ini sanggup menderhaka kepada bangsa sendiri.

Mereka tidak mahu mendengar hujah dan fakta pihak lain, sebaliknya menganggap tafsiran mereka sahaja yang betul.

Oleh itu, kepada kelompok berkenaan, peringatan Sultan Azlan Shah tersebut tepat dituju kepada mereka. Mahu tidak mahu, mereka harus mengakui bahawa tindakan mereka sebenarnya meletakkan orang Melayu dalam bahaya.

Kalaulah isu keistimewaan atau ketuanan Melayu ditimbulkan oleh pihak lain tidak apa, tetapi ini dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Tujuan mereka, kononnya ingin menunjukkan keterbukaan dan merekalah pejuang kepada semua kaum.

Tetapi mereka sengaja melupakan bagaimana tindakan tersebut jika tidak dibendung boleh menyebabkan satu masa nanti orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di bumi sendiri.

Bak titah Sultan Azlan Shah, jika dibiarkan bangsa (Melayu) akan menghadapi kesesalan di kemudian hari kerana ketika itu kaum Melayu telah dipinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan. Namun percayalah, puak-puak yang rakus mencari kuasa politik ini tidak akan mempedulikan itu semua.

Atas sebab itulah golongan ini perlu ditentang habis-habisan kerana mereka tidak layak berada di bumi Malaysia ini.

Ia kerana perjuangan seumpama itu bukan sahaja akan merugikan orang Melayu, malahan akan turut mengancam kestabilan kaum lain.

Oleh itu, kepada puak tersebut, janganlah terlalu ghairah melihat segala-galanya dari sudut politik, jika tidak mahu dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa sendiri. Jadikanlah ingatan Sultan Azlan Shah sebagai peringatan sebelum ia terlambat.

Pertahan agama, bangsa, negara

sumber utusan

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad semulia-mulia rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'alla kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat saya hadir bersama-sama dengan saudara-saudara sekalian pada Majlis Multaqa Ulama Darul Ta'zim yang diadakan pada hari ini.

Islam merupakan agama yang berkembang maju sesuai di semua tempat dan zaman. Oleh yang demikian, umat Islam perlu membina kekuatan melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan amalan yang soleh untuk menghadapi segala cabaran dan perkembangan zaman.

Umat Islam di Malaysia amat bertuah sekali kerana negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur. Ini membolehkan pelbagai kemudahan dan peluang untuk menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan dapat disediakan kepada masyarakat.

Ditambah pula dengan sistem pentadbiran agama yang tersusun dan mantap pelaksanaannya, negara kita telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju dan dihormati.

Peranan para ulama pada zaman silam adalah begitu besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara. Golongan ulama telah memainkan peranan yang aktif berganding bahu dengan para pemimpin negara untuk menuntut kemerdekaan.

Dengan gandingan yang mantap antara ulama dan umara, maka kemerdekaan negara dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan di negara ini.

Ini jelas menunjukkan bahawa, peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah mereka berperanan untuk menjaga dan mengekalkan ketuanan bangsa Melayu.

Perkara ketuanan Melayu ini saya bangkitkan kerana saya dapati pada hari ini ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksudnya yang sebenar.

Ketuanan Melayu atau lebih sesuai disebut sebagai Kedaulatan Melayu adalah mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini. Ia bukan soal antara "tuan dan hamba" tetapi merujuk kepada kedaulatan di negeri-negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.

Sistem raja dan kerajaan Melayu telah wujud ratusan tahun lamanya. Sistem ini tidak pernah putus. Malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu yang kita namakan "Malaysia" pada hari ini adalah terdiri daripada Persekutuan Negeri-negeri Melayu serta Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Ini kerana, awal sebelum kedatangan British, sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Konsep Kedaulatan Melayu yang merangkumi kedudukan Raja-raja Melayu, Islam adalah agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan lain-lain hak, tidak pernah melihat orang lain sebagai orang luar di negara ini.

Sejak dulu lagi ketika Negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya, menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Negeri Tanah Melayu. Dan apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan.

Ini kerana sudah ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, ulama boleh berperanan untuk menjelaskannya dan mempertahankan Kedaulatan Melayu dalam perlembagaan.

Sejak kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara ini, umat Islam telah mengamalkan fahaman ahli sunnah waljamaah dan mengikut Mazhab Syafie. Fahaman ini telah membawa umat Islam di rantau ini berada dalam keadaan aman, makmur, dan hidup bersatu padu. Ini kerana fahaman ini amat sederhana, diterima oleh semua pihak, mampu memenuhi keperluan semasa dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah umat Islam secara aman, harmoni dan berkesan.

Oleh yang demikian, suka saya mengingatkan saudara saudari sekalian supaya terus mempertahankan fahaman ahli sunnah wal jamaah yang kita pegang hingga ke hari ini dan terus mengamalkan ajaran Islam mengikut Mazhab Syafie sebagaimana yang telah diamalkan sejak dulu lagi.

Di samping itu juga, kita hendaklah memastikan bahawa fahaman lain yang selain daripada fahaman ahli sunnah waljamaah tidak bertapak di negeri Johor ini. Ini kerana, ia boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri dalam kalangan masyarakat umum yang akhirnya akan hanya merugikan semua pihak.

Perkembangan dan kemajuan teknologi yang begitu cepat berkembang telah menimbulkan kesan sampingan dalam masyarakat terutama sekali dalam bidang akidah, ibadah, fahaman Islam dan perpaduan ummah.

Oleh yang demikian, para ulama perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul dengan berhemah dan bijaksana. Dalam hubungan ini, saya ingin mencadangkan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama: Kerajaan negeri diminta supaya mewujudkan satu kumpulan pemikir Islam yang dianggotai pakar-pakar dari pelbagai disiplin ilmu seperti ulama, perundangan, cendekiawan, sejarahwan, sasterawan, pendidikan, penyelidikan, penulis, pemikir dan sebagainya bagi membincang dan menganalisis apa juga masalah yang berkaitan dengan masyarakat Islam serta mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang timbul dengan bijaksana dan berhemah.

Kedua: Para ulama diminta menyebarkan ilmu dan pengetahuannya melalui penulisan sama ada dalam bentuk artikel atau penulisan buku sebagaimana yang diamalkan oleh para ulama silam seperti imam Al-Ghazali Imam As-Syafie dan lain-lain lagi.

Ketiga: Supaya di negeri Johor ini diwujudkan satu pusat pemurnian akidah dan pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran Mazhab Syafie. Pusat ini juga bertanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan,mengadakan kursus dan bengkel agama, bimbingan akidah dan sebagainya.

Semoga dengan demikian, masyarakat dapat memahami dan mendalami agama Islam secara menyeluruh dan mampu untuk membuat pertimbangan serta tidak terus menjadi sebagai pak turut atau ikut-ikutan sahaja.

Tambahan lagi, dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih ini, masyarakat amat mudah terdedah kepada fahaman-fahaman lain yang sebahagiannya bercanggah dengan Islam. Saudara saudari sekalian bersempena dengan Multaqa ini, saya berharap peranan ulama dan umara dapat ditingkatkan lagi dengan lebih berkesan bagi meningkatkan pembangunan dan kemajuan Islam Negeri Johor Darul Takzim.

Akhirnya dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Multaqa Ulama" Darul Ta'zim Tahun 2010 Masihi.